Sunday, June 11, 2017

ANDA BERMINAT UNTUK MENJADI SEORANG PERAWAT?

SIAPA ITU PERAWAT

Perawat ialah seorang pengamal perubatan, iaitu individu yang melakukan perawatan. Dalam masyarakat Melayu, perawat dikenali juga sebagai tobib, dukun, bomoh atau pawang, sementara dalam Perubatan Moden ia dikenali sebagai doktor.

Apabila seseorang itu ingin melakukan perawatan, maka beberapa persediaan dalam pelbagai sudut perlulah ada, supaya proses perawatannya berjalan lancar dan dianggap sebagai berjaya meskipun pesakitnya tidak berjaya disembuhkan:-

1- HUBUNGAN DENGAN ALLAH:

Seorang perawat itu perlulah menjaga segala perbuatan, ucapan dan hatinya. Ketiga-tiganya mestilah selari dengan kehendak Allah samada dalam perkara suruhan atau larangan.

Perawat mesti yaqin bahawa segala yang berlaku sepanjang urusannya merawat pesakit adalah dengan kehendak dan izin Allah semata-mata. Kejayaan atau kegagalannya merawat pesakit adalah telah ditentukan oleh AllAh sejak azali lagi.

"Tidaklah sesuatu musibah itu menimpa sama ada di bumi atau pada diri kamu melainkan semuanya sudah berada di dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya (musibah), sesungguhnya perkara itu bagi Allah adalah mudah." ~ (Surah al-Hadid:22)

Oleh itu perawat tidak boleh berbangga dengan kejayaannya merawat pesakit sehingga sembuh kerana semua itu adalah daripada Allah jua. Begitu juga dengan kegagalannya 'menyembuhkan pesakit', perawat tidak boleh kecewa dan berputus asa jika kegagalan itu berlaku setelah ia merawat dengan penuh usaha, ilmu, doa dan tawakal yang lengkap.

2- PERSEDIAN DIRI:

Perawat perlu memastikan dirinya sudah bersedia dan sihat samada jasmaninya atau rohaninya. Jasmanai perawat yang bermasalah dan lemah dapat menjejaskan kualiti rawatan, bahkan penyakit yang ada pada pesakit boleh berjangkit kepadanya terutama apabila sistem imuniti pearawat berada dalam keadaan lemah.

Persediaan  rohani yang lemah juga boleh menjejaskan kualiti perawatan. Tanpa himmah yang tinggi, perawat akan lemah dan kurang kesungguhan dalam merawat pesakitnya. Dalam keadaan yang serba lemah, perawat tidak dapat mengawal perasaan atau emosinya dan boleh menyebabkan terjejas hubungannya denga pesakit sama ada melalui perbuatannya atau ucapannya.

3- HUBUNGAN DENGAN PESAKIT:

Hubungan itu mestilah sebaik-baik hubungan dalam adab dan komunikasinya. Perkara ini sangat penting kerana proses kesembuhan banyak bergantung kepada aspek spiritual pesakit yang stabil dan sihat. Rasa cemas pesakit yang datang, kemungkinan sebelum itu telah berjumpa dengan beberapa perawat yang lain yang belum dapat merawat penyakitnya walaupun telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk usaha penyembuhan penyakitnya; perlu di tenangkan dengan ayat-ayat al-quran dan zikrullah bahawa itu merupakan ujian daripada Allah untuk dia belajar sabar.

Beberapa langkah pre-awatan (kaunseling) perlu dilakukan seperti 'menyuntik  keyakinan' kepada pesakit agar menerima sakit itu sebagai satu tanda 'kasih sayang' daripada Allah kepadanya. Semuga dengan itu pesakit akan bersangka baik dengan Allah. Perawat perlu sentiasa mengingatkan pesakit bahawa 'setiap penyakit ada ubatnya' sepertimana yang telah dinyatakan oleh Rasullullah, hamba Allah yang tidak berkata-kata dari nafsunya bahkan merupakan wahyu dari Allah jua.

4- SIKAP TERHADAP ILMU:

Perawat mestilah menguasai ilmu perubatan dengan sebaik-baiknya. Kekurangan atau kesilapan pada ilmu perawat boleh menjejaskan diagnosisnya, seterusnya menjejaskan ketepatan jenis rawatan yang akan diberikan kepada pesakit. Risikonya sama ada penyakit akan berterusan atau yang lebih teruk lagi keadaan pesakit bertambah parah.

Perawat mestilah jujur dengan ilmunya. Apa-apa yang baik untuk pesakitnya mesti dikatakan baik, atau sebaliknya. Jangan khianati pesakit dengan sebab kepentingan peribadi, dengan memberikan rawatan atau ubatan yang tidak sesuai dengan pesakit sehingga keadaan penyakit pesakit melarat dan perbelanjaan yang besar dibayar oleh pesakit dikaut keuntungan oleh perawat yang tidak amanah dengan ilmunya. Perawat kena berlapang dada jika kemempuannya untuk merawat seseorang pesakit itu terbatas, dia kena melepaskan pesakit tersebut kepada perawat lain yang lebih berkemampuan dan lebih berkesan rawatannya.

5- SIKAP TERHADAP PROFESION PERAWATAN:

Perawat mestilah sentiasa membetulkan niatnya supaya merawat kerana Allah semata-mata. Jadikan profesion ini sebagai cara untuk berbakti dan membantu manusia. Bidang PERAWATAN ini adalah satu LALUAN sahaja untuk kita mencapai MATLAMAT yang sebenar; iaitu KEREDZAAN ALLAH SWT.

Sekiranya perawat sudah melaksanakan kesemua perkara ini dengan sebaik-baiknya, maka layaklah ia dianggap sebagai perawat yang berjaya. Kesimpulannya untuk menjadi sebagai seorang perawat yang berjaya di sisi Allah, perawat itu mestilah:
Matlamat yang benar: mencapai redza Allah melalui laluan kerjayanya sebagai perawat.
Kaedah yang benar: semua kaedah berdasarkan ilmu perubatan yang tidak bercanggah dengan al-Quran as-Sunnah.
Hanya ALLAH, Rasulullah dan AuliyaNYA yang lebih mengetahui.

#setiappenyakitadaubatnya
#sihatsecaraholistik

#perawat

No comments: